Contoh Perbahasan (Karangan Lengkap) Yang Baik Tentang Kebaikan Internet

Mendongak ke langit bukan bermakna lupa akan daratan, mendongak dengan harapan agar setiap butir impian menjadi kalungan kejayaan.

          Yang Dihormati guru Bahasa Malaysia (Cikgu Adeline), barisan panel pencadang dan pembangkang dan seterusnya rakan-rakan yang saya kasihi sekalian. Dari Sabah saya ke mari, untuk belajar bersama Cikgu Adeline; jika rakan-rakanku masih tertunggu-tunggu lagi, kebaikan Internet tajuk pidato saya pada hari ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,
          Seperti mana yang kita ketahui, Internet merupakan satu penemuan teknologi yang mula mendapat tempat dalam kalangan manusia ini. Malahan, penggunaan Internet sudah dianggap sebagai satu perkara lumrah dalam kehidupan kita, sehingga mereka yang tidak tahu menggunakan Internet dianggap sudah kuno ataupun ketinggalan zaman.

          Namun begitu, persoalannya, adakah Internet ini menyumbangkan lebih banyak manfaat dalam kehidupan kita? Oleh sebab itulah berdirinya saya pada hari ini adalah untuk mengupas dan mengulas antara kebaikan Internet ini kepada masyarakat sejagat.

          Seperti mana yang kita ketahui, kehadiran Internet adalah satu anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas pendidikan menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi Internet ini. Berbekalkan sebuah komputer riba, serta tanpa perlu ke kelas ataupun berhadapan dengan guru, sesesorang itu boleh mendalami ilmu pengetahuan yang pelbagai melalui penggunaan Internet. Selain itu, pelajar juga tidak perlu bersusah payah untuk ke perpustakaan serta meminjam buku yang tebal-tebal untuk dibuat rujukan. Hal ini disebabkan, dengan hanya satu klik, pelbagai jenis nota boleh dimuat turun dengan mudahnya melalui penggunaan Internet ini. Selain itu, melalui jaringan sosial yang disediakan di Internet seperti Facebook, Twitter dan sebagainya, pelajar-pelajar boleh bertukar-tukar pendapat mengenai pelajaran mereka dengan pelajar-pelajar yang bukan sekadar di dalam negara, malah di luar negara. Sangat bagus bukan penggunaan Internet ini dalam bidang pendidikan?

Hadirin yang budiman,
          Di samping itu, kemajuan internet juga meningkatkan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan internet secara langsung atau tidak langsung telah membantu meningkatkan produktiviti manusia. Mana tidaknya, melalui Internet, segala kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat dan berkesan. Tanpa Internet, sudah tentunya kita akan mengalami kesukaran untuk bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dilabel sebagai produk yang tidak berkualiti serta ketinggalan zaman. Namun begitu, mujurlah awal-awal lagi kerajaan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk memberi tumpuan kepada pembangunan Internet ini. Malah ketika melawat MSC, Bill Gates (Microsoft Corporation), insan terkaya di dunia, memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Beliau menambah, di luar Amerika Syarikat pembangunan seumpama ini (seperti di Malaysia) sukar didapati. Jadi terbukti bahawa pembangunan multimedia membolehkan Malaysia “berdiri sama tinggi, dan duduk sama kompetitif” dengan negara-negara maju yang lain.

Hadirin yang dihormati,
Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan internet ini. Peniaga tidak perlu lagi pergi dari rumah ke rumah untuk menjual produk-produk mereka. Hanya satu klik, sesuatu produk itu dapat diiklankan bukan sekadar di dalam negara, malah di seluruh dunia. Hal ini telah membuktikan bahawa Internet ini membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Guru dan rakan-rakan yang dihormati sekalian,
          Jelaslah bahawa Internet membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Menjadi tugas kitalah bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh.

Sekian, terima kasih.

"Kalau tuan pergi ke barat,
 Jangan diikut hasutan syaitan;
 Internet manfaat atau mudarat,
 Tepuk dada tanyalah iman
."